Isu dana RM600 bilion: SPRM jalankan siasatan terperinci

SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion.
SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Siasatan yang terperinci dan profesional akan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

SPRM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

"SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, bukti atau dokumen berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat.

"Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka pihaknya berhubung isu berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan ada mengeluarkan arahan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender yang dibuat kerajaan terdahulu.

Anwar Ibrahim dilapor berkata, Kementerian Kewangan akan memberi maklumat mengenai pelanggaran tersebut dan ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana terbabit ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Kontroversi penyelewengan dana RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 berkenaan pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.