Kes 1MDB: Najib gagal dalam rayuan dapat dokumen bank

Najib hari ini gagal dalam rayuannya bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan bank pelaburan Goldman Sachs dan keluarga Zeti Akhtar. - Foto Bernama
Najib hari ini gagal dalam rayuannya bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan bank pelaburan Goldman Sachs dan keluarga Zeti Akhtar. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal dalam rayuannya bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan bank pelaburan Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk digunakan dalam perbicaraan kesnya melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan yang menolak rayuan Najib.

Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata dokumen yang diminta Najib berkaitan dakwaan dana yang diterima oleh keluarga Zeti tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib) dan dokumen itu tidak akan membantunya dalam pembelaan diri.

"Dokumen itu tidak akan membantu perayu (Najib) untuk membuktikan kekurangan pengetahuannya tentang transaksi dalam akaun banknya. Selain itu, pembelaan perayu seperti yang dikemukakan kepada saksi pendakwaan adalah beliau telah diperdaya oleh seorang yang bernama Jho Low.

Beliau berkata mahkamah juga mendapati kredibiliti Zeti, walaupun jika terbukti tidak boleh dipercayai, akan menunjukkan konsistensi atau tidak konsisten dengan fakta dan isu dalam kes Najib.

Dalam permohonannya, Najib berkata dokumen perbankan itu relevan untuk pembelaan dalam perbicaraannya bagi pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB bertujuan menunjukkan integriti Zeti sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu telah terjejas serta mencabar kredibilitinya.

Mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim itu berkata di bawah undang-undang, kenyataan itu adalah dokumen istimewa.

Beliau berkata alasan tidak mendedahkan keterangan saksi adalah untuk mengelak bahaya sebenar terhadap saksi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan telefon bimbit dan kata laluan bekas jurubank Sachs Goldman, Tim Leissner, hakim itu berkata barang-barang itu tidak berada dalam simpanan pihak pendakwaan dan mahkamah tidak akan bertindak sia-sia.

"Adalah keputusan sebulat suara kami bahawa tidak ada kesilapan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kedua-dua usul pemula (Najib) yang mewajarkan campur tangan mahkamah ini," katanya sambil menambah bahawa rayuan itu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan.

Bekas Perdana Menteri itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lepas untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

Beliau juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kesnya kini didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Bekas anggota Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang ditemui pemberita kemudiannya berkata pihak pendakwaan akan memanggil tujuh lagi saksi termasuk Zeti untuk memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB sebelum menutup kesnya. - Bernama