Rakyat Cuba berbaris panjang bagi mendapatkan petrol

Orang ramai dilihat berbaris panjang bagi mendapatkan petrol di Havana, Cuba. - Foto AP
Orang ramai dilihat berbaris panjang bagi mendapatkan petrol di Havana, Cuba. - Foto AP
A
A
A

HAVANA - Krisis bahan api terus memburuk di Cuba menyebabkan rakyat dan pelancong berbaris panjang bagi mengisi tangki minyak kenderaan mereka.

Barisan panjang bagi mendapatkan petrol berterusan apabila krisis bahan api memuncak pada hujung minggu ini, memaksa pihak berkuasa menangguhkan banyak aktiviti dan mencatu jualan bahan api.

Sebelum ini kekurangan bekalan tidak melibatkan pelancong dan diplomat kerana bekalan petrol dan diesel mereka dijamin oleh kerajaan.

Namun pada hujung minggu, barisan kenderaan mewah dengan plat kedutaan dilihat menunggu selama berjam-jam.

Ada pelancong yang beratur panjang dengan kereta sewa mereka, melebihi 5 jam bagi mendapatkan petrol.

Bagi kenderaan persendirian, beratur mendapatkan petrol boleh mengambil masa lebih daripada 12 jam.

Pihak berkuasa mengakui bahawa tidak akan ada penyelesaian segera bagi bekalan petrol.

Menurut Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel, pembekal petrol antarabangsa tidak mematuhi perjanjian yang dijadualkan dan pada masa yang sama, diesel terpaksa digunakan untuk penjanaan elektrik di loji kecil.

Di samping itu, penyelenggaraan loji kuasa untuk permintaan musim panas akan datang sedang dijalankan.

Minggu lalu di Havana, pihak berkuasa memutuskan untuk menjual hanya 40 liter bagi setiap kenderaan.

Orang ramai tidak dibenarkan memasukkan minyak petrol ke dalam bekas simpanan, tetapi mengepam terus ke dalam tangki minyak kenderaan.