Medan Pan-gon nilai pemain

Kim Pan-gon
Kim Pan-gon
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan menjadikan perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat sebagai medan penilaian pemain sebelum mengharungi kempen Piala AFF 2022.

Menurutnya, kemampuan setiap pemain akan diuji sebaik mungkin selain menuntut aksi konsisten dan penuh bertenaga dipamerkan skuad Harimau Malaya.

Malah, beliau juga menyifatkan perlawanan pemanas badan itu menjadi medan mencuba ramuan berbeza terutama dengan kehadiran ramai muka baharu dan pemain muda.

"Sudah tentu kita mengharapkan keputusan positif daripada perlawanan ini, tetapi apa yang lebih penting adalah kita mahu melihat dan menilai pemain daripada pelbagai sudut terutama bagaimana mereka beradaptasi dengan corak permainan pasukan.

"Saya juga mahu pemain mendominasi perlawanan setiap minit dan mereka dapat konsisten dalam persembahan yang diberikan," katanya dalam sidang media Pra Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja pada Khamis.

Skuad negara yang mula menjalani latihan pusat bermula 29 November lalu akan turut berdepan Maldives dalam satu lagi aksi persahabatan pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bagi saingan Piala AFF kali ini, akan membuka kempen menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga bersedia memberikan ruang buat pemain muda dan muka baharu untuk beraksi dalam perlawanan menentang Kemboja itu.

Artikel Berkaitan:

"Penyokong akan dapat melihat pemain baharu beraksi. Saya tidak mahu meletakkan tekanan dan saya beri galakan kepada mereka.

"Apa yang perlu mereka buat adalah tunjukkan keupayaan mereka di atas padang," ujarnya.