Pan Gon berjaya bukti kredibiliti

Pan-gon (depan, dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada barisan pemainnya selepas aksi persahabatan menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Selasa lalu. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
Pan-gon (depan, dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada barisan pemainnya selepas aksi persahabatan menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Selasa lalu. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
A
A
A

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dianggap berjaya membuktikan kredibilitinya sepanjang mengendali skuad kebangsaan.

Malah, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu juga berjaya meraih semula kepercayaan para penyokong Harimau Malaya.

“Sebenarnya tekanan itu sesuatu perkara biasa untuk seseorang ketua jurulatih, tambahan pula apabila sesebuah negara yang prestasi pasukan bola sepaknya tidak begitu menonjol.

“Tentu sahaja harapan dalam kalangan para penyokong skuad bola sepak kebangsaan adalah tinggi selepas persembahan hambar dalam beberapa pertandingan sebelum ini.

“Pan-gon juga berjaya menanamkan semangat, strategi dan arahan yang berjaya dilaksanakan para pemain dengan sempurna dalam setiap perlawanan.

“Pan-gon telah membuktikan kredibilitinya dalam meningkatkan prestasi pasukan negara. Malah Pan-gon perlu lebih tenang dan meneruskan proses penambahbaikan pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Pan-gon mengakui tekanan merupakan cabaran terbesar yang dihadapinya, namun mengakui berpuas hati dengan hasil yang diraih skuad Harimau Malaya setakat ini.

Dalam pada itu, Jamal berharap Harimau Malaya dapat berdepan pasukan yang memiliki tempo permainan tinggi selepas melakar kemenangan ke atas Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan sebelum ini.

“Para pemain negara telah membuktikan keupayaan sebenar dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini, malah dengan kemenangan besar.

“Saya berharap dengan berbaki beberapa bulan sebelum pusingan akhir Piala Asia tahun depan, kita dapat berdepan lawan yang lebih berkualiti.

“Sebagai contoh kita akan berdepan Korea Selatan, jadi kita kena cari pasukan yang persis atau setaraf Korea Selatan sebelum Piala Asia bermula nanti,” ujarnya.

Harimau Malaya kini berada dalam fasa persiapan sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar pada awal tahun depan selepas layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun.