Pan-gon lakukan perubahan menjelang aksi menentang Papua New Guinea

Pan-gon (kiri) pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea. - Foto Bernama
Pan-gon (kiri) pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea. - Foto Bernama
A
A
A

SETELAH mencetak kejayaan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon baru-baru ini, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon bersedia melakukan beberapa perubahan menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Pan-gon yang menyifatkan perlawanan itu sebagai eksperimen berkata, perubahan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya antara lain adalah untuk melihat tahap prestasi pemain yang tidak turun beraksi dalam perlawanan sebelum ini.

Selain itu, jurulatih dari Korea Selatan itu mahu melihat persaingan dalam kalangan pemain terus meningkat dalam usahanya membentuk skuad terbaik terutama menjelang saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

"Saya mahu menjadikan mereka (pemain) terus bersaing antara satu sama lain. Saya mahu mereka rasa tiada kesebelasan utama yang tetap, sesiapa sahaja boleh berada dalam skuad utama. Persekitaran begini yang saya suka.

"Sekarang kita ada dua pemain untuk satu posisi jadi mudah-mudahan boleh meletakkan tiga. Jadi semua orang perlu bersaing antara satu sama lain untuk tempat dalam kesebelasan utama dan apabila kita beri mereka peluang untuk bermain, mereka perlu tunjukkan kepada kita bahawa mereka lebih baik daripada pemain lain dalam posisi itu,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini pada Isnin.

Walaupun ada perubahan dilakukan, Pan-gon berharap anak buahnya terus menerapkan falsafah pasukan, bersikap agresif dan mengawal keseluruhan perlawanan, di samping mengurangkan kesalahan teknikal.

"Kita perlu membiasakan diri mencipta peluang menjaringkan gol dan memaksa lawan melakukan kesilapan...kita juga perlu mengurangkan kesilapan teknikal kecil supaya dapat memberikan permainan lebih baik daripada sebelumnya,” katanya sambil mengesahkan hampir kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan esok.

Berdasarkan statistik pertemuan dengan Papua New Guinea, Malaysia menang tiga daripada empat perlawanan dengan pertemuan terakhir pada 2016 menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 2-1, lima bulan selepas tewas 0-2 kepada lawan sama.

"Kita menyaksikan perlawanan mereka (Papua New Guinea) menentang Singapura dan mereka lebih baik daripada yang dijangkakan. Saya tidak peduli dengan sejarah pertemuan lepas, kita mencari kemenangan berturut-turut di laman sendiri, mencipta budaya menang dan membina kubu di laman sendiri. Itu adalah sasaran utama kita,” katanya.

Sementara itu, pertahanan negara, Corbin Ong berkata, rakan-rakannya kini lebih fokus kepada usaha pasukan untuk mencapai tahap permainan terbaik berbanding memikirkan tentang lawan.

"Saya rasa di kem ini, kita lebih fokus bagaimana kita hendak bermain, bagaimana kita hendak serang dan bertahan, itu sahaja yang penting.

"Ia akan menjadi permainan yang berbeza, seperti kata jurulatih tumpuan kita adalah kepada karakter, kita mahu jadi agresif dan dominan pada masa sama kita mahu mengurangkan kesilapan. Jadi, daripada bercakap mengenai Papua New Guinea, kita tumpukan bagaimana kita boleh memperbaiki diri sebagai satu pasukan,” katanya.

Berdasarkan ranking dunia, Malaysia menghuni tangga ke-138 manakala Papua New Guinea 159. - Bernama