Mangsa scam Zuttelo kerugian lebih RM84 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 220 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan pelaburan Zuttelo sejak Ogos lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak tahun 2020.

"Berdasarkan siasatan, kegiatan pelaburan ini mula aktif sejak tahun 2020 sehingga laman web syarikat berkenaan ditutup sekitar bulan Ogos 2022.

"Sejak Ogos, sejumlah 220 laporan polis telah diterima melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM 84.57 juta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin media tempatan melaporkan, sekitar 10,000 mangsa telah diperdaya sindiket pelaburan berkenaan dengan jumlah kerugian mencecah RM3 bilion.

Sindiket pelaburan Zuttelo dilapor menyasarkan mangsa berbangsa Cina termasuk warga emas.

Dalam pada itu, Noorsiah berkata, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menawarkan sembilan jenis pakej pelaburan bernilai antara AS$630 (RM2,777) hingga AS$12,700 (RM55,994).

Katanya, pelabur yang berminat perlu mendaftarkan diri menerusi satu laman web dan diberi pilihan untuk melabur dalam bentuk tunai atau mata wang kripto.

Artikel Berkaitan:

"Setiap pelabur dijanjikan pulangan minima sebanyak 16.5 peratus setiap bulan.

"Sehubungan itu, PDRM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan lebih terperinci dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum menyertai sebarang pelaburan," ujar beliau.