[VIDEO] Signal jelas pengundi Padang Serai tolak kerajaan PH-BN: Azman

Azman (kiri) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika meraikan kemenangan PN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim Kedah pada Rabu.
Azman (kiri) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika meraikan kemenangan PN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim Kedah pada Rabu.
A
A
A

PADANG SERAI - Datuk Azman Nasrudin menyifatkan kemenangan beliau di kerusi Parlimen Padang Serai adalah mesej jelas bahawa rakyat menolak kerajaan campuran PH dan BN serta kabinet baharu yang dibentuk.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas mendakwa, ia juga adalah mesej jelas bahawa rakyat membantah pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya percaya yang keputusan ini adalah satu mesej jelas daripada rakyat Malaysia dan warga Padang Serai yang menolak Kerajaan Campuran PH-BN dan kabinet Kleptokrat serta membantah perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi.

"Ia juga satu signal yang jelas kepada Perdana Menteri baharu kita untuk berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau," dakwanya.

Azman ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan lima calon lain dalam PRU15, pada Rabu.

Menurutnya, keputusan itu juga membolehkan beliau bersama rakan pemimpin lain menjadi pembangkang yang berwibawa.

Azman ketika diumumkan menang kerusi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim Kedah pada Rabu.
Azman ketika diumumkan menang kerusi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim Kedah pada Rabu.

"Saya beraspirasi untuk bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan PN serta wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dengan memantau tindak-tanduk kerajaan campuran PH dan BN ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di parlimen kelak dan memastikan suara dan keperluan mereka sentiasa terjamin,"katanya.

Azman (PN) diumumkan memperolehi 51,637 undi berbanding Mohamad Sofee Razak (PH) memperoleh 35,377 undi, Datuk C Sivaraj (BN) mendapat 2,983 undi, Sreanandha Rao (Bebas) mendapat 846 undi, Hamzah Abd Rahman (Pejuang) 424 undi dan Mohd Bakri Hashim (Warisan) memperolehi 149 undi.

Kemenangan itu menjadikan PN memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

"Kami sangat bersyukur dengan keputusan ini dan seperti saya sebut, ini adalah signal jelas kepada pemerintah dan menteri dalam kabinet yang baru supaya berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan.

"Antara naratif kempen yang dimainkan oleh PH menyebut bahawa saya ialah pengkhianat, katak dan sebagainya.

"Sebenarnya keputusan di Padang Serai ini menunjukkan bahawa rakyat Padang Serai menolak pengkhianat...itu adalah pengkhianat sebenar kepada negara," katanya.