'Kurang sebulan, Anwar berjaya 'jentik' konglomerat'

Atyrah Hanim Razali
Atyrah Hanim Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan keadaan yang sangat sukar bagi membentuk barisan kabinet Kerajaan Perpaduan namun berjaya melaksanakan langkah drastik yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Atyrah Hanim Razali berkata, perkara itu dapat diterjemahkan meskipun dalam tempoh kurang sebulan kerajaan dibentuk.

Menurutnya, apa yang berjaya dilaksanakan Anwar setakat ini juga atas faktor pengaruh besar yang dimiliki Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meskipun dalam parti-parti politik lain.

"Saya tidak nafikan ada suara yang tak puas hati atas pelantikan kabinet. Anwar berada dalam satu keadaan yang sangat sukar dan dia juga cuba membuat perkara-perkara yang betul.

"Situasi Anwar dan PH umpama menarik rambut dalam tepung, tepung tak boleh berselerak dan rambut tak boleh putus.

"Tapi saya kira setakat ini langkah-langkah yang ada sebagai contoh, kurang sebulan kerajaan terbentuk terus boleh jentik konglomerat contohnya Bernas dan ahli perniagaan..ini satu langkah proaktif yang kita boleh tengok pada kerajaan perpaduan hari ini.

"Kalau kita lihat, kerisauan seperti takut kerajaan yang dikuasai oleh Cina DAP dan sebagainya, saya rasa berjaya di kawal," katanya ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Masa Untuk Realisasi Manifesto' disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Program dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu turut menampilkan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib dan Penganalisis Politik, Dr Tawfik Yaakub sebagai panelis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Atyrah memuji penyusunan kabine dibawah pimpinan Anwar yang membabitkan lebih 20 peratus penglibatan pemimpin wanita.

"Juga dalam kementerian-kementerian yang pertama kali disandang oleh wanita, iaitu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh," katanya.