10 calon wanita PRU15 berkongsi pengalaman

Poster menampilkan 10 calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu akan berkongsi pengalaman mereka dalam Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15 di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur, pada Sabtu ini.
Poster menampilkan 10 calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu akan berkongsi pengalaman mereka dalam Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15 di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur, pada Sabtu ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 10 calon wanita daripada pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berkongsi pengalaman sempena penganjuran Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15.

Forum bertajuk 'Melangkah Ke Hadapan' yang akan diadakan pada 10 Disember ini di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dalam satu kenyataannya berkata, forum yang akan diadakan pada Sabtu ini berjaya mengumpul nama-nama besar calon wanita yang bertanding pada PRU15 untuk berkongsi pengalaman masing-masing.

Kata kenyataan itu, Forum Kepimpinan Politik Wanita: Melangkah Ke Hadapan menampilkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (BERSATU), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (UMNO), Haniza Mohamed Talha (PBM), Aiman Athirah Al-Jundi (AMANAH), Gan Ay Ling (PKR), Syerleena Abdul Rashid (DAP), Ivone Low Yi Wen (MCA), Siti Rahayu Baharin (MUDA), Nurthaqaffah Nordin (AMANAH) dan Siti Aisyah Shaik Ismail (PKR).

Katanya, moderator bagi forum tersebut adalah Prof Madya Dr Sharifah Syahirah S.Shiekh dari Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) dan Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurutnya, forum anjuran NCWO itu mendapat kerjasama daripada Gagasan Minda Merdeka (GMM), Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil Pilihan Raya Umum Ke-15 (Pantau PRU15), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Forum ini diadakan lanjutan daripada hasil PRU15 yang menyaksikan peratus perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat menurun dari 14.9 peratus kepada 13.5 peratus.

"Malah di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), peratus perwakilan wanita yang menang masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menyaksikan DUN Pahang sebanyak 4.8 peratus, DUN Perlis sebanyak 20 peratus dan DUN Perak sebanyak 20.3 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, peratusan anggota wanita dalam jemaah menteri sebanyak 17.9 peratus juga tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam pembuatan keputusan," kata kenyataan itu.

Katanya, hasil peratusan yang dicapai itu adalah mendukacitakan meskipun terdapat desakan padu dan konsisten daripada sayap wanita parti politik, pertubuhan wanita, masyarakat sivil dan pihak Pantau PRU15.

Selain itu menurutnya, parti-parti politik juga telah berjanji untuk meletakkan lebih ramai calon wanita berkelayakan bertanding pada PRU15.

Tambahnya, sungguhpun terdapat peningkatan jumlah calon wanita iaitu seramai 127 orang dan melibatkan 103 kerusi, namun hanya 23.6 peratus berjaya dipilih bagi 30 kerusi Parlimen.

Sehubungan itu katanya, masih banyak lagi usaha diperlukan untuk memastikan peluang kepimpinan politik memihak kepada golongan wanita.

Jelasnya, faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan atau kemenangan perlu dikaji dengan teliti supaya peluang kejayaan calon wanita bertambah cerah dalam pilihan raya umum seterusnya.

"Maka forum yang penting ini akan menjadi wadah perkongsian pengalaman 10 calon wanita daripada pelbagai parti tentang cabaran yang dihadapi mereka bagi bersaing pada PRU15.

"Analisis pengamalan mereka akan memberi panduan dan pedoman untuk merangka strategi bagi melonjakkan kepimpinan politik wanita di Malaysia pada masa hadapan, khususnya daripada segi perwakilan dan penglibatan substantif wanita di peringkat membuat dasar dan hala tuju kepimpinan negara," katanya.