Lain macam aura PM kita meskipun tanpa tali leher

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di Kementerian Kewangan. - Foto Bernama
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di Kementerian Kewangan. - Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama beliau selepas mengangkat sumpah pada 24 November lalu. Merak Jalanan sempat mengikuti perkembangan sejak awal pagi sehinggalah sidang media beliau diadakan pada jam 3 petang.

Apa yang menarik perhatian Merak Jalanan bukanlah hasil mesyuarat, sebaliknya gaya berpakaian Perdana Menteri yang dilihat santai tanpa mengenakan tali leher. Segak menyarung kot berwarna gelap dengan seluar daripada rona sama, Anwar turut mengenakan kemeja putih yang menampakkan sisi karisma dan ketegasan pemakainya.

Di mata Merak Jalanan, tampak ‘sempoi’ betul Perdana Menteri kita kali ini. Tidak hairanlah, penampilan beliau turut mendapat perhatian netizen di media sosial.

Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, Anwar lebih selesa menggayakan baju Melayu berwarna merah jambu lembut lengkap bercapal. Kebetulan, hari pertama itu jatuh pada hari Jumaat.

Keesokannya pula, beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesa menggayakan baju batik berwarna ungu di kala penjawat awam lain lengkap mengenakan lounge suit.

Pada pemerhatian Merak Jalanan, penampilan dengan gaya mewah bukanlah imej Anwar. Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lebih selesa dengan gaya sederhana namun kemas, paling penting boleh buat kerja.

Merak Jalanan percaya, bagi Anwar, pemakaian tampak elegan tidak akan memberikan apa-apa impak kepada urus tadbir kerajaan sekiranya kualiti perkhidmatan masih di takuk lama.

Disebabkan itu, usai angkat sumpah pada petang 24 November sehingga kini, nampak gayanya tidak ada istilah cooling period buat Anwar, malah kepada seluruh pasukan Kabinet Perpaduan dan penjawat awam di Putrajaya.

Artikel Berkaitan: