Penganggur dipenjara cederakan isteri, dua anak

Rony Abraham (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu.
Rony Abraham (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Padah mencederakan isteri dan dua anak gara-gara gagal mengawal kemarahan, akhirnya seorang penganggur menerima balasan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.

Rony Abraham, 37, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan, dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Berdasarkan satu pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, dia didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan cara mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan bahagian mata sebelah kiri mangsa.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Manakala tiga tuduhan memukul isteri serta dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun, tertuduh turut mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Rony didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan wanita itu menggunakan tangan selain turut menumbuk mulut anak perempuan berusia 13 tahun dan menendang belakang badan anak lelakinya yang berumur 12 tahun.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling di sini, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, 17 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berang setelah isterinya tidak membelikan rokok seperti yang diminta sebelum wanita itu keluar rumah bagi mendapatkan bekalan berkenaan untuk tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dipercayai masih tidak berpuas hati dan mengarahkan mangsa duduk di atas katil dan mencucuh puntung rokok ke bahagian badan isterinya itu.

Tertuduh turut memukul dua lagi anaknya sebelum secara tiba-tiba memanjat bumbung rumah dah meminta tolong.

Hakim Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 23 Oktober lalu atas pertuduhan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara Majistret Sharda Shienha menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan bawah Seksyen 323 kanun sama, bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.