Isu kalimah ALLAH: Kerajaan bersikap sambil lewa - Ulamak Pas

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Ahmad)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Ahmad)
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan berhubung tindakan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, DUPP berpandangan keputusan KDN menarik balik rayuan dalam kes tersebut menggambarkan sikap sambil lewa dan tidak benar-benar meneliti justifikasi penghujahan kes tersebut dengan mendalam.

"Tambahan lagi, KDN tidak mengambil berat pendirian Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang menjelaskan bahawa lafaz ALLAH SWT adalah khusus kepada umat Islam sahaja.

"Lafaz tersebut serta perkataan 'Kaabah', 'Solat' serta 'Baitullah' seharusnya dilindungi melalui undang-undang daripada sebarang bentuk dan potensi disalahgunakan. Ironinya, Kerajaan yang menguar-uarkan slogan Madani tidak langsung serius melihat perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kerajaan Malaysia dan KDN dilapor menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, KDN perlu mengambil langkah berani dan konsisten iaitu meneruskan rayuan kes Jill Ireland ini.

"Tidak seharusnya kes sebegini dipandang enteng oleh Kerajaan memandangkan implikasi kepada masa depan agama itu sendiri," tegas beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka setelah mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Kes berkenaan melibatkan seorang wanita Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang menggunakan kalimah ALLAH atas tujuan agamanya.