PRU15: Harap pengundi Padang Serai buat pilihan tepat

Sreanandha (kanan) membuat semakan sebelum membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Hi Tech Kulim pada Rabu.
Sreanandha (kanan) membuat semakan sebelum membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Hi Tech Kulim pada Rabu.
A
A
A

PADANG SERAI - Pengundi Parlimen Padang Serai diminta keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum pusat pengundian ditutup jam 6 petang.

Calon Bebas, Sreanandha Rao berkata, setiap pemilih diharap mengambil kesempatan memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat selain mampu membela nasib rakyat.

Menurutnya, terdapat juga pengundi yang mengambil peluang tiba lebih awal daripadanya iaitu sebelum jam 8 pagi bagi membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Hi Tech, Kulim, Kedah.

"Saya lihat pengundian berjalan lancar di sini dengan kawalan keselamatan dan bantuan petugas selain keutamaan diberi kepada golongan memerlukan termasuk wanita hamil.

"Dalam masa sama, saya meminta agar majikan membenarkan pekerja yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini," katanya yang turut beratur bagi mengundi di sekolah berkenaan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pengundian bagi Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding, M Karupaiya yang meninggal dunia 16 November iaitu tiga hari sebelum hari pengundian.

Pengundi hadir melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Hi Tech Kulim Kedah pada Rabu.
Pengundi hadir melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Hi Tech Kulim Kedah pada Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Rabu, 7 Disember 2022 sebagai hari mengundi.

Artikel Berkaitan:

Selain calon Bebas, lima lagi calon bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai termasuk Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk C Sivaraj (BN), Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang) dan Mohd Bakri Hashim (Warisan).

Bagaimanapun pada 2 Disember lepas, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen berkenaan selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan oleh kedua-dua parti.

Sebelum ini, Warisan turut memutuskan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo parti itu masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.