Penjual buah potong didakwa lakukan amang seksual

Tertuduh berusia 22 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya.
Tertuduh berusia 22 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki yang juga penjual buah potong didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya, April lalu.

Tertuduh yang berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba payudara kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut, meraba payudara dan memasukkan jari ke dalam kemaluan terhadap mangsa sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di dalam daerah Melaka Tengah di sini antara Jun 2021 hingga April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan kerana mangsa merupakan sepupu kepada isteri tertuduh namun mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan sekiranya dipertimbangkan mahkamah.

Dalam pada itu, tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai peniaga buah potong selain menjaga ibu bapa mentuanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan di mana tertuduh dan keluarganya tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 9 Januari depan sebagai sebutan semula kes.