Nurulhidayah dilantik Pengerusi MQ Tech

Nurulhidayah - Foto Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid
Nurulhidayah - Foto Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - MQ Technology Bhd (MQ Tech) membuat penetapan semula berhubung jawatan pengurusan tertinggi syarikat tersebut dengan pelantikan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sebagai pengerusi yang baharu berkuat kuasa 5 Disember tahun ini.

Menurut laporan media, MQ Tech dalam makluman kepada Bursa Malaysia, turut mengumumkan Pengerusinya, Datuk Lim Char Boo, ditetapkan semula sebagai Naib Pengerusi berkuat kuasa pada hari yang sama.

Sebelum ini, Nurulhidayah pernah dilantik bagi memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi MQ Tech pada 2 Jun lalu.

Nurulhidayah merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara pengalamannya termasuk berkhidmat sebagai Naib Presiden Komunikasi Korporat (Pengurus Besar) di Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dari Disember 2012 hingga April 2016.

Nurulhidayah memegang ijazah komunikasi dari Universiti Putra Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Lincoln University College.

MQ Tech adalah syarikat yang terbabit dalam perniagaan perkakasan dan prototaip, yang membangunkan acuan, alatan, jig serta lekapan yang digunakan dalam pembuatan pemacu cakera keras, industri automotif dan perubatan.

Artikel Berkaitan: