'Saya tidak akan pernah jual UMNO-BN'

Ahmad Zahid berucap pada Program Himpunan Rakyat di Dewan Terbuka Kuala Rompin hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Program Himpunan Rakyat di Dewan Terbuka Kuala Rompin hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak akan pernah 'menjual' UMNO dan BN walaupun parti itu memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, sebaliknya kerjasama BN-PH adalah untuk memastikan hak, kepentingan, keperluan rakyat dapat diberi keutamaan.

"Saya tidak akan pernah menjual UMNO, apatah lagi BN, yang lebih penting kita mesti jadi kerajaan.

"Apabila kita menjadi kerajaan kita akan pastikan bahawa hak, keperluan dan kepentingan rakyat mesti diutamakan," katanya ketika berucap pada program himpunan rakyat di daerah Rompin di Dewan Terbuka Kuala Rompin pada Selasa.

Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, sebelum membuat keputusan untuk menyertai PH, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Tambahnya, pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan dan pendirian DAP terhadap beberapa perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Saya tanya kepada Anthony bagaimana kedudukan agama Islam, jika kami bekerjasama dengan DAP, bagaimana kedudukan hak istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu pada pandangan DAP?

"Selepas itu, Anthony memaklumkan kami kepimpinan baharu DAP, kami patuh dan akur kepada perkara dalam perlembagaan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Ahmad Zahid mahu pengundi di DUN itu menterjemah sokongan mereka kepada kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan di bawah panji Kerajaan Perpaduan.

"Pengundi Tioman jangan pernah buat salah dan silap, sebaliknya beri kemenangan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain," jelas beliau.