Cadang laksana sistem kupon minyak masak subsidi

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Cadangan untuk melaksanakan sistem kupon bagi minyak masak subsidi kemasan polibeg satu kilogram (1kg) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah tersebut merupakan salah satu usaha bagi memastikan subsidi minyak masak dapat dinikmati oleh golongan B40 dan M40.

"Ia sekali gus dapat membanteras ketirisan dan bekalan minyak masak di pasaran," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan libat urus bersama pemain industri di kementeriannya pada Selasa.

Menurutnya, cadangan tersebut turut meliputi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang memerlukan minyak masak polibeg.

"Bukan hanya kepada isi rumah golongan sasar tersebut tetapi kita juga akan mengenal pasti pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seperti penjual pisang goreng, warung-warung, pengusaha kantin dan kedai yang bergiat aktif," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri implikasi berkaitan subsidi serta harga barangan dalam usaha kerajaan mengatasi peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan pemain industri bersedia duduk berbincang bagi mempertimbangkan pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat.

Ia turut dibawa ke mesyuarat NACCOL.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat yang akan diperincikan ini akan mengambil kira semua aspek," katanya.

Tegas beliau, sebarang pendekatan dan pendirian yang dibuat kementerian akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Rakyat tetap akan dapat membeli minyak masak pada harga berpatutan," katanya.

Kadar baharu minyak masak kegunaan domestik dan eksport dilapor pernah dibincangkan oleh kerajaan terdahulu.