RMK12: Tiada perubahan drastik program pemerkasaan bumiputera

Rafizi ketika sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12, Shah Alam pada Selasa.
Rafizi ketika sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada perubahan drastik dijangka dilakukan terhadap program berkaitan pemerkasaan bumiputera yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau sebaliknya berkata, kementeriannya akan menumpukan terhadap usaha memastikan setiap perkara dirancang dapat dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, selalunya perancangan baik, apa yang kita nak pastikan ia betul-betul dilaksanakan dan capai matlamat.

"Kami ingin memastikan setiap satu ringgit dibelanjakan jika pada rancangannya bertujuan untuk membebaskan mana-mana pihak daripada kemiskinan, sama ada anda bumi (bumiputera) atau tidak, ia dilaksanakan seperti dimahukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12 di sini pada Selasa.

Selain meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, RMK12 antara lain turut menyasarkan pertambahan sumbangan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kumpulan itu kepada sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Usaha itu disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu seperti dana Kemakmuran Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi kontraktor bumiputera.

Rafizi berkata, beberapa pengubahsuaian sememangnya dijangkakan dengan mengambil kira cabaran global.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada beberapa kekangan dan terdapat juga peluang. Oleh itu, ia (RMK12) adalah satu kerja yang berterusan selagi kita tangkas dari segi menangani cabaran melihat pelaksanaannya dengan teliti.

"Pastikan bahawa kita menyesuaikan diri dengan sewajarnya dan kemudian dengan itu sepanjang tempoh pelaksanaan RMK12, kita harap ia akan dapat untuk mencapai jika tidak semua, kebanyakan objektifnya," ujar beliau.