Terengganu sedia bincang adakan PRN serentak

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersedia mengadakan perbincangan untuk adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan lima negeri lain yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut sebelum ini sudah dibincangkan secara tidak rasmi dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kita akan cuba cari ruang waktu yang sama pembubaran itu," katanya selepas hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Selain Terengganu, lima negeri yang belum membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) peringkat Parlimen pada 19 November lalu adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang bayangan masa sebenar DUN Terengganu akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

Sebelum berakhir tempoh (habis penggal), insya-ALLAH kita bubarlah," katanya.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa ini waktu sesuai untuk diadakan PRN, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, cadangan tersebut akan dipertimbangkan.

"Kita terima itu sebagai satu cadangan termasuk cadangan dari orang lain juga, kita akan timbang mana yang paling sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahidan sebelum ini mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

Beliau berkata, ia ialah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu, mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 November lalu.

Beliau turut menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu mencatatkan kemenangan besar dan akan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.