Ejen hartanah rugi lebih RM7 juta ditipu 'pegawai KKM'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ejen hartanah kerugian RM7.73 juta akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abu Shukor berkata, suspek menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan KKM Putrajaya kononnya untuk memindahkan panggilan berkenaan kepada 'Polis Diraja Malaysia'.

Suspek menghubungi mangsa dan menyatakan terdapat 52 dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac telah dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan siasatan sedang dijalankan pihak KKM terhadapnya.

"Panggilan mangsa kemudian telah disambungkan kepada ‘Polis Diraja Malaysia’ di mana mangsa dimaklumkan terdapat waran tangkap atas namanya kerana terlibat aktiviti pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Amihizam berkata, suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kemudian mengarahkan mangsa supaya membuka tujuh akaun baharu di institusi kewangan tempatan dan meminta mangsa menyerahkan kesemua maklumat perbankan kesemua akaun bank terbabit.

"Suspek telah mengarahkan mangsa agar membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun baru yang dibuka itu.

"Setelah transaksi pemindahan berjaya, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) lalu dimaklumkan wang yang telah dipindahkan ke tujuh akaun berkenaan terdapat transaksi pengeluaran," ujar beliau.

Menurutnya, menyedari sejumlah wang dari beberapa akaun bank peribadi miliknya lesap, mangsa merupakan wanita berusia 66 tahun membuat laporan polis pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.