'Era baharu bola sepak Jepun'

Hajime Moriyasu
Hajime Moriyasu
A
A
A

PENGENDALI Jepun, Hajime Moriyasu tetap berbangga dan menyifatkan pasukannya sedang meniti era baharu bola sepak walaupun tewas penentuan penalti kepada Croatia, dalam aksi 16 pasukan terbaik Piala Dunia Qatar 2022 pada Isnin.

Menurutnya, Jepun telah mempamerkan aksi luar biasa termasuk menumbangkan dua gergasi Eropah iaitu Jerman dan Sepanyol dalam edisi Piala Dunia kali ini.

"Kami tidak dapat melepasi pusingan 16 terbaik, tetapi kami berjaya menewaskan Jerman dan Sepanyol di peringkat kumpulan. Mereka adalah juara dunia dan pasukan kuat.

Jika anda menyaksikan perlawanan, kami mencipta banyak peluang jaringan dan mempunyai peluang untuk menang.

"Kami boleh bermain menentang pasukan terbaik dunia dan menewaskan mereka (Jerman dan Sepanyol). Pemain telah menunjukkan era baharu bola sepak Jepun," katanya.

Dalam perlawanan itu, Samurai Biru terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Daizen Maeda sebelum Ivan Perisic menyamakan kedudukan untuk Croatia 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan tonggak Jepun, Takumi Minamino, Kauru Mitoma dan Maya Yoshida gagal menyempurnakannya.

Moriyasu menegaskan Jepun menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka selain turut memuji aksi dipamerkan para pemainnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak menang penalti dan kami perlu menerimanya, tetapi saya tidak rasa kami tertekan ketika penalti itu. Sebaliknya penjaga gol Croatia itu beraksi baik.

"Pemain Jepun bermain 120 minit dengan penuh keyakinan dan pemain yang mengambil penalti juga sangat berani," katanya.