Bento tinggalkan Korea Selatan

Bento beri bayangan tidak akan kekal bersama Korea Selatan. - Foto EPA.
Bento beri bayangan tidak akan kekal bersama Korea Selatan. - Foto EPA.
A
A
A

PAULO Bento memberi bayangan tidak akan kekal sebagai jurulatih Korea Selatan selepas mereka tersingkir daripada Piala Dunia Qatar 2022 selepas tewas 1-4 kepada Brazil pada Selasa.

"Saya perlu fikirkan mengenai masa depan, tapi tidak akan bersama pasukan Korea.

"Saya akan berehat dan kemudian melihat apa yang akan berlaku," kata pengendali berusia 53 tahun yang juga bekas jurulatih Portugal itu selepas perjalanan skuad Kimchi terhenti di peringkat kalah mati.

"Saya baharu saja beritahu pemain dan presiden persatuan kebangsaan.

"Keputusan ini sudah saya fikirkan sejak September. Ia sudah ditetapkan dan hari ini (Selasa) saya mengesahkannya.

"Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada Korea Selatan dan sangat bangga menguruskan mereka," katanya.

Bento mengambil alih pasukan selepas Piala Dunia 2018 menggantikan Shin Tae-yong.

Di Qatar, Korea Selatan bukan tandingan Brazil apabila ketinggalan empat gol pada babak pertama di Stadium 974, Doha walaupun berjaya mendapatkan satu gol menerusi pemain gantian, Paik Seung-ho.

"Saya percaya kami boleh berbangga dengan apa yang dicapai pada Piala Dunia kali ini dan apa yang kami lakukan sejak empat tahun lalu untuk berada di sini," kata Bento yang melatih Portugal pada kejohanan 2014 di Brazil.

Korea Selatan yang diketuai Son Heung-min mara ke Qatar selepas berada di kedudukan kedua kelayakan di belakang Iran, tetapi penyingkiran di kelompok 16 terakhir bermakna mereka tidak pernah menang aksi di peringkat penyingkiran selain di negara sendiri.

"Korea beraksi sangat baik pada peringkat kumpulan walaupun kami boleh mendapatkan lebih banyak mata sekiranya menewaskan Ghana," ujar Bento.