G25 gesa kabinet selesaikan pembaharuan tadbir urus institusi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) berharap barisan kabinet Kerajaan Perpaduan akan selesai melakukan pembaharuan tadbir urus institusi di negara ini dalam tempoh satu tahun dari sekarang.

G25 dalam kenyataannya pada Isnin berkata, oleh itu barisan kabinet perlu mengutamakan pembaharuan tadbir urus institusi seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Ketika mengumumkan barisan kabinet, Perdana Menteri menyatakan yang objektif utama beliau dan menteri-menterinya ialah untuk mentadbir-urus dengan baik.

"Ini adalah berita baik kerana ia menunjukkan bahawa pucuk pimpinan negara mahukan suatu perubahan radikal demi mempertingkatkan pentadbiran kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan. Bagaimanapun, hasrat ini memerlukan pembaharuan dan transformasi institusi," katanya.

Jumaat lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengumumkan pembentukan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang berjumlah 28 kementerian keseluruhannya.

Menurut G25, institusi tertinggi dalam sistem pemerintahan demokrasi ialah Parlimen (badan perundangan), kabinet sebagai badan eksekutif dan badan kehakiman sebagai institusi yang memartabatkan kedaulatan undang-undang.

"Oleh itu, badan kehakiman mestilah bebas daripada dua badan kerajaan yang lain yang disebut di sini untuk mentafsir dan menegakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Kenyataan G25 pada Isnin tentang pembaharuan tadbir urus institusi.
Kenyataan G25 pada Isnin tentang pembaharuan tadbir urus institusi.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting untuk melindungi hak rakyat sekiranya Parlimen atau kabinet membuat keputusan yang bercanggah dengan perlembagaan," ujarnya.

G25 menegaskan, seperti di negara maju, tadbir urus yang baik memerlukan Parlimen yang diberi kuasa untuk menyemak-imbang para menteri.

"Oleh itu, kami ingin tekankan betapa pentingnya Jawatankuasa Pilihan Parlimen diperkasakan dengan kakitangan profesional dan sumber belanjawan bagi membolehkan mereka menjadi badan pengawasan yang berkesan, terutamanya dalam pengurusan kewangan dan belanjawan kementerian.

"Memandangkan kebanyakan skandal rasuah ada hubung kait dengan keputusan mengenai pemberian kontrak kerajaan untuk perkhidmatan dan perolehan, maka, Jawatankuasa Pilihan Parlimen mestilah memberi tumpuan khas terhadap aspek-aspek ini," jelasnya lagi.

G25 menambah, keadaan rasuah di semua peringkat pentadbiran ketika ini sudahpun berleluasa, sekali gus menimbulkan ancaman yang serius kepada integriti negara dan tadbir urus yang baik.

"Kami ulangi apa yang kami telah nyatakan sebelum ini dalam kenyataan kami mengenai betapa pentingnya menjadikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bebas dan terasing dari politik, iaitu kerajaan baharu perlu menyegerakan pembaharuan khususnya ke atas SPRM.

"Langkah ke arah pembaharuan mestilah diberi keutamaan yang tinggi selaras dengan objektif kerajaan baharu untuk membasmi

rasuah dan memperkukuhkan tadbir urus. Pembiayaan dana politik perlu dikawal selia kerana ia berkait rapat dengan gejala rasuah di kalangan ahli politik," ulasnya.

Pada masa sama, G25 mengakui dan memuji kerajaan PH yang setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjaya memperkenalkan beberapa pembaharuan yang telah dijanjikan, khususnya mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian.

Contohnya memperkenalkan pelbagai perwakilan dalam keahlian SPR dengan melantik peguam, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam yang telah bersara sebagai ahli-ahli suruhanjaya, menurunkan kadar umur pengundi dari 21 ke 18 tahun, serta pendaftaran pengundi secara automatik.

Namun G25 memberitahu, masih ada janji-janji yang masih belum dilaksanakan antaranya ialah cara pelantikan ahli SPR, syarat-syarat kerajaan sementara, perlanjutan tempoh berkempen, memperbetulkan masalah persempadanan semula yang telah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelumnya.

"Oleh itu, kami amat berharap yang Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH akan melaksanakan pembaharuan SPR selanjutnya dan proses pengundian, agar janji PRU14 dapat ditunaikan.

"Kerajaan perlu menggariskan jangka masa untuk memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan ini agar tadbir urus yang baik dapat dicapai," katanya.