KRM buat laporan polis kes pecah amanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR -Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat laporan polis berkaitan kes pecah amanah yang disyaki berlaku di dalam pengendalian akaun bank kesatuan tersebut.

Kegiatan pecah amanah itu disyaki dilakukan oleh salah seorang kakitangan KRM yang setakat ini gagal dihubungi dan dikesan.

KRM dalam satu kenyataan menyebut, kakitangan terbabit telah memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai salah seorang penandatangan cek.

Individu terlibat kemudiannya didakwa telah memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran-pengeluaran wang tunai dari bank.

KRM bagaimanapun masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dan akan membantu polis membuat siasatan serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Di sebalik isu tersebut, KRM akan meneruskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang untuk hujung tahun ini,” katanya pada Isnin.

KRM akan menjadi tuan rumah kepada empat pasukan bagi kejohanan Ragbi Asia Lelaki Bawah 19 tahun (B-19) di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 14 dan 18 Disember.

Kejohanan itu merupakan pusingan kelayakan bagi kejohanan Trofi Ragbi Dunia Junior 2023 yang akan melibatkan pasukan dari Hong Kong, Korea, Taiwan dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, KRM akan menghantar dua pasukan (lelaki dan wanita) B-18 ke Nepal untuk menyertai kejohanan Ragbi Asia tujuh sepasukan lelaki dan perempuan B-18 pada 10 hingga 11 Disember dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).