Tze Yong tutup tirai 2022 rangkul gelaran Antarabangsa Bahrain

Tze Yong mengalahkan pemain Taiwan untuk mengungguli Cabaran Antarabangsa Bahrain pada Ahad. Foto FB BAM
Tze Yong mengalahkan pemain Taiwan untuk mengungguli Cabaran Antarabangsa Bahrain pada Ahad. Foto FB BAM
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menutup tirai musim ini dengan bergaya apabila merangkul gelaran pertama bagi 2022 selepas mengungguli Cabaran Antarabangsa Bahrain pada Ahad.

Bagaimanapun pengembaraan untuk memenangi gelaran sulung itu bukan mudah selepas dipaksa bekerja keras selama 80 minit untuk menewaskan pemain dari Taiwan yang juga juara remaja dunia, Kuo Kuan Lin.

Pemain di ranking ke-27 dunia itu meraih kemenangan ke atas Kuan Lin dengan keputusan 21-15, 20-22, 21-12 di BKS Club dekat Manama.

Kemenangan tersebut menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu membawa pulang RM5,200 selain meraih 4,000 mata ranking dunia.

Tze Yong melihat kemenangan itu sebagai pembakar semangatnya untuk meraih banyak lagi pencapaian bagi kempen tahun depan khususnya dalam saingan Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari.

“Saya berharap dapat teruskan momentum ini pada tahun depan, selain tidak sabar untuk beraksi kejohanan Super 1000 di Terbuka Malaysia di depan penyokong sendiri,” katanya.

Tze Yong mempamerkan peningkatan prestasi terbaik tahun ini selepas berjaya meraih pingat perak di Sukan Komanwel Birmingham, Ogos lalu.

Dia juga berjaya mengesahkan kemaraan sehingga ke separuh akhir Terbuka Australia sebelum tewas di tangan pemain China, Lu Guang Zu, bulan lalu.

Artikel Berkaitan: