Piala Dunia 2022: Perancis mudah melangkah ke suku akhir

Mbappe (kanan) cuba melepasi pertahanan Poland dalam aksi di Stadium Al Thumama pada awal pagi Isnin. - Foto EPA
Mbappe (kanan) cuba melepasi pertahanan Poland dalam aksi di Stadium Al Thumama pada awal pagi Isnin. - Foto EPA
A
A
A

PENYANDANG juara, Perancis menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Poland dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Al Thumama, awal pagi Isnin.

Dua gol sumbangan Kylian Mbappe dan satu gol lagi menerusi penyerang veteran, Olivier Giroud sudah cukup buat Les Bleus menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

Babak pertama menyaksikan permulaan seimbang kedua-dua pasukan dengan Perancis terlebih dahulu mengancam seawal minit ketiga menerusi tandukan Raphael Varane.

Berselang tiga minit, Perancis terus menguji kecekapan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny dengan percubaan jarak jauh Aurelien Tchouameni pada minit ke-13.

Poland pula sekali-sekala mengasak hampir mencemaskan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris menerusi percubaan penyerang sensasi, Robert Lewandowski.

Perancis akhirnya mendahului menerusi jaringan Giroud yang menyudahkan hantaran Mbappe pada penghujung babak pertama.

Jaringan peribadi ke-52 itu menyaksikan Giroud menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis mengatasi legenda Les Bleus, Thierry Henry.

Perancis terus menggandakan asakan sebaik babak kedua bersambung dan Giroud hampir menambah rekod jaringannya pada minit ke-57.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, gol menerusi percubaan menarik itu tidak dikira berikutan kekasaran terhadap Szczesny oleh Varane semasa berebut bola.

Usaha Perancis mengasak kubu Poland berhasil apabila Mbappe menyumbat gol kedua menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti ke penjuru atas pintu gol lawan pada minit ke-74.

Mbappe menambah gol ketiga Perancis pada masa kecederaan yang menyaksikan dia kini mengumpul lima gol keseluruhan di pentas Piala Dunia kali ini.

Sebelum wisel penamat dibunyikan, Poland memperoleh gol saguhati daripada sepakan penalti Lewandowski.