Masa terbaik adakan PRN Kedah, Kelantan, Terengganu

Shahidan Kassim - Foto Bernama
Shahidan Kassim - Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, selesai.

Beliau berkata, ia ialah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) itu, mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 November lalu.

Beliau turut menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu mencatatkan kemenangan besar dan akan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Jadi selepas pilihan raya ini, saya ingat ‘askar-askar’ kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini, terus dengan pilihan raya negeri, saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Pada PRU15 lalu, PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis dan menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

PN turut menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu serta menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah. - Bernama

Artikel Berkaitan: