Gunung berapi Semeru meletus semula selepas setahun

Debu tebal yang dibebaskan gunung berapi Semeru di Lumajang pada Ahad. - Foto AFP
Debu tebal yang dibebaskan gunung berapi Semeru di Lumajang pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

LUMAJANG - Pihak berkuasa Indonesia menaikkan status amaran ke tahap tertinggi selepas gunung berapi Semeru membebaskan debu panas setinggi hampir dua kilometer (km) ke permukaan udara selain memuntahkan lahar pada Ahad.

Aktiviti vulkanik di gunung berapi paling tinggi di Pulau Jawa yang terletak kira-kira 800km dari tenggara ibu kota itu turut memaksa langkah pemindahan segera dilakukan terhadap penduduk kampung berhampiran.

"Ancaman yang meningkat kepada tahap empat telah mengancam kawasan penempatan penduduk di zon lingkungan Semeru," ujar jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hendra Gunawan.

Setakat ini, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, namun Hendra memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menghampiri kawasan dari kawah itu pada jarak 8km.

Menurutnya, pusat penempatan sementara turut disediakan untuk penduduk yang dipindahkan.

Sementara itu, media tempatan melaporkan perkampungan sekitar yang sedang berdepan monsun dilanda hujan bercampur dengan debu vulkanik.

Terdahulu, agensi cuaca Jepun turut memberi amaran tentang ancaman tsunami di Pulau Miyako dan Yaeyama di wilayah Okinawa akibat kejadian itu yang berlaku genap setahun selepas letusan terakhir pada Disember 2021 yang turut meragut sekurang-kurangnya 51 nyawa dan menyebabkan lebih 5,000 kediaman musnah. - AFP

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!