Polis tidak pilih bulu dalam laksanakan tugasan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemeriksaan melibatkan individu atau kenderaan mencurigakan adalah tugas utama polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sentiasa berhemah dalam menjalankan tanggungjawab.

"Polis sentiasa bersikap bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan pihak polis," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter yang tidak berpuas hati kerana mendakwa diperiksa secara rambang oleh beberapa anggota polis di Jalan Cenderuh Taman Bamboo bersebelahan sebuah restoran makanan SA Bamboo Curry House Jinjang di sini pada Sabtu.

Individu tersebut turut memaparkan aduannya itu turut diberikan kepada Ketua Polis Negara.

Tangkap layar seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan tindakan pihak polis yang didakwanya memeriksa secara rambang pada Sabtu.
Tangkap layar seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan tindakan pihak polis yang didakwanya memeriksa secara rambang pada Sabtu.

Eng lai berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Jinjang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anggota polis terlibat ternampak empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut.

"Apabila melihat kehadiran pihak polis, mereka dengan segera telah memasuki kereta masing-masing, selepas memperkenalkan diri, pihak polis meminta kad pengenalan mereka untuk membuat semakan rekod jenayah dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

"Salah seorang dari individu tersebut meminta pihak polis untuk bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis telah menjelaskan tujuan pemeriksaan tersebut dijalankan," katanya.

Katanya, setelah selesai pemeriksaan, kesemua mereka dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan.

"Pihak polis tidak menemui sebarang kesalahan dari pemeriksaan yang dijalankan," katanya.