Sepanyol tak pandang Maghribi sebelah mata

Busquets (tengah) berharap pemain Sepanyol waspada dengan cabaran Maghribi dalam saingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Selasa. - Foto EPA
Busquets (tengah) berharap pemain Sepanyol waspada dengan cabaran Maghribi dalam saingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A

SEPANYOL tidak mahu memandang sebelah mata cabaran Maghribi dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Selasa.

Kapten Sepanyol, Sergio Busquets membayangkan pertemuan skuadnya sebagai satu perlawanan yang 'pasti amat sukar'.

Selepas berakhir aksi Kumpulan E dan F Khamis lalu, juara Kumpulan F Maghribi dan naib juara Kumpulan E, Sepanyol akan membuat perhitungan pada aksi kalah mati.

Busquets turut menafikan spekulasi bahawa skuad dari Eropah itu lega kerana berakhir di tangga kedua Kumpulan E yang menyaksikan mereka akan menentang Maghribi bukannya naib juara kejohanan lalu Croatia.

“Kami mahu menang dan muncul juara kumpulan. Kami pergi ke satu lagi bahagian undian, tetapi ia tidak menjamin laluan yang lebih mudah atau sukar,” kata pemain tengah berusia 34 tahun itu.

Jepun memimpin Kumpulan E selepas mengalahkan Sepanyol 2-1 dalam aksi ketiga dan terakhir kumpulan Jumaat lalu.

“Kami tidak mahu ini berlaku, hasrat kami untuk menang (menentang Jepun). Untuk meneruskannya, kami berdepan Maghribi pada pusingan 16 yang mana ia satu perlawanan yang amat sukar,” tambah Busquets.

Pemain veteran Barcelona itu menganggap kekalahan Sepanyol kepada Jepun sebagai 'memalukan' dan mahu skuad Eropah itu meningkat dan 'mengatasi kesilapan' menjelang pertemuan dengan Atlas Lions.

Artikel Berkaitan:

Piala Dunia di negara Teluk itu disajikan dengan banyak kejutan bermula kemenangan 2-1 Arab Saudi ke atas Argentina yang menggemparkan dunia bola sepak.

Kejohanan berprestij itu juga menyaksikan beberapa pasukan gergasi dunia yang menghuni ranking lebih tinggi tersingkir pada peringkat kumpulan.

Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut meskipun menundukkan Costa Rica 4-2, ketika Jepun dan Sepanyol menghuni dua tangga teratas Kumpulan E.

Belgium yang hadir di Qatar dengan status berada di ranking kedua dunia turut tersingkir pada pusingan awal selepas Maghribi dan Croatia bergelar sebagai juara dan naib juara Kumpulan F.