FIFA tarik hak Peru tuan rumah Piala Dunia B-17

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS Indonesia, Peru pula menerima nasib sama apabila hak sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) ditarik balik.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan pelucutan hak itu berikutan 'negara penganjur tidak mampu menyediakan infrastruktur diperlukan'.

FIFA dalam satu kenyataan menyebut, kejohanan melibatkan 24 negara tersebut dijadualkan bermula 10 November hingga 2 Disember depan dan pihaknya sedang mencari tuan rumah baharu.

Tambahnya, di sebalik kerjasama positif dengan Persekutuan Bolasepak Peru didapati masa tidak mencukupi untuk menarik pelaburan yang diperlukan oleh negara itu.

Kerajaan Peru juga didapati berdepan kekangan masa untuk melengkapkan kerja-kerja berkaitan sebelum kejohanan bermula.

Tuan rumah turut menyatakan pihaknya terbuka untuk menganjurkan kejohanan lain di Peru pada masa depan.

Kejohanan dwitahunan itu sepatutnya diadakan di Peru pada 2021, tetapi dibatalkan kerana pandemik Covid-19, manakala Brazil menjadi penganjur bagi edisi 2019.

Minggu lalu, FIFA menarik balik hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 yang dijadualkan bermula 20 Mei hingga 11 Jun.

Perlucutan hak itu berikutan negara itu mahu mengharamkan penyertaan Israel yang layak buat kali pertama.