FGM rayu sumbangan biaya atlet ke Piala Dunia Footgolf

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama pasukan Footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong (BJGC) pada majlis pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Florida, Amerika Syarikat. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama pasukan Footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong (BJGC) pada majlis pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Florida, Amerika Syarikat. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Footgolf Malaysia (FGM) memerlukan sumbangan RM500,000 bagi membiayai 23 atletnya untuk mewakili negara pada Piala Dunia Footgolf 2023 di Florida, Amerika Syarikat.

Presiden FGM, Tunku Nasaifuddin Tunku Datuk Mudzaffar berkata, setakat ini pihaknya hanya berjaya mengumpul RM1,200 dan merayu sumbangan orang ramai untuk memastikan hasrat ke kejohanan tersebut akan tercapai.

Menurutnya, wang tersebut akan digunakan bagi menyertai pertandingan, pengangkutan, penginapan dan lain-lain kegunaan sepanjang saingan berlangsung bermula 26 Mei hingga 6 Jun depan.

“Setakat ini, kami dapat kumpul RM1,200, namun optimis dapat mengumpul jumlah tersebut. Orang ramai yang boleh membuat sumbangan itu di www.simplygiving.com/nonprofit/fgam.

"Mana-mana syarikat swasta yang memberi sumbangan kepada FGM berpeluang mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kita juga sedang memohon dana daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) bagi tujuan ini,” katanya selepas menghadiri kempen tabung Persatuan Footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong pada Sabtu.

Beliau berkata, skuad Footgolf negara mempunyai potensi menduduki tiga tempat terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan dengan sandaran besar diharapkan kepada atlet wanita, Steffi Sarge Kaur.