Keadaan ekonomi kini berbeza

Penganalisis ekonomi berpandangan pendekatan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan untuk memulihkan keyakinan ekonomi, peniaga dan pelabur asing itu hanya bersifat jangka pendek. Gambar kecil: Mohd Faisol
Penganalisis ekonomi berpandangan pendekatan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan untuk memulihkan keyakinan ekonomi, peniaga dan pelabur asing itu hanya bersifat jangka pendek. Gambar kecil: Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi berpandangan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan untuk memulihkan keyakinan ekonomi, peniaga dan pelabur asing itu hanya bersifat jangka pendek.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ia berikutan keadaan ekonomi pada masa kini jauh berbeza, dengan isu ketirisan, kebocoran, pembaziran dan rasuah menjadi cabaran terbesar negara ini, di samping ekonomi dunia.

“Tidak dinafikan Perdana Menteri itu sendiri menjadi salah satu faktor yang mampu menarik kepercayaan pelabur asing datang ke Malaysia, selain beberapa faktor lain tetapi ini mungkin bersifat jangka masa pendek.

“Pernah suatu ketika dahulu Malaysia mengecap kejayaan ekonomi apabila Perdana Menteri juga memegang portfolio Menteri Kewangan.

“Bagaimanapun, kini keadaan ekonomi jauh berbeza dari dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faisol berkata, beberapa tindakan awal perlu dilakukan Kementerian Kewangan bagi mengawal masalah ekonomi yang dijangka mencabar pada tahun depan terutama melibatkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Menurutnya, jika inflasi masih dalam julat yang tinggi pada tahun depan, kemungkinan OPR akan dinaikkan lagi.

“Kuasa membeli golongan B40 dan M40 perlu ditumpukan supaya golongan ini mampu meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga perlu fikirkan mekanisme paling berkesan untuk mengurangkan kadar pengangguran,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah bilangan menteri yang kecil dalam barisan kabinet menunjukkan komitmen kerajaan dalam melakukan perubahan.

Menurutnya, majoriti daripada mereka dilihat mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sama ada dalam tempoh masa pendek atau panjang.

“Bagi saya, pembentukan kabinet hari ini dilihat menarik sebagai suatu gabungan baharu yang mewakili pelbagai bangsa.

“Walaupun terdapat menteri yang terikat dengan kes mahkamah, namun perkara ini akan menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan tersebut telus jika urusan kehakiman diasingkan,” jelasnya.