SPAN pantau, siasat insiden pencemaran bau

Pencemaran bau sehingga 4 ton dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam Khamis.
Pencemaran bau sehingga 4 ton dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan bahan serta pelaku berhubung insiden Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu, SPAN memaklumkan lawatan tapak termasuk ke kawasan perindustrian berhampiran telah dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan olehnya serta agensi penguatkuasaan lain.

"SPAN memandang serius insiden pelepasan efluen terlarang ke alur air sehingga mengakibatkan pencemaran bau di Negeri Sembilan dan Selangor pada Khamis dan Jumaat lalu dan mengakibatkan penutupan LRA Sungai Semenyih selama hampir 3 jam.

"Ini kerana pencemaran terhadap alur air bakal mengakibatkan gangguan terhadap bekalan air pengguna domestik dan industri.

"SPAN menyiasat insiden berkenaan melalui Seksyen 121 (1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu berkaitan pencemaran terhadap alur air atau sistem bekalan air yang mana memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah," katanya.

Kenyataan dikeluarkan oleh pihak SPAN.
Kenyataan dikeluarkan oleh pihak SPAN.

Pada Jumaat, Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil, dekat sini, 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, susulan itu operasi LRA Semenyih telah dihentikan pada 11.15 malam, manakala LRA Bukit Tampoi pada pukul 2 pagi tadi, namun kini kedua-duanya kembali beroperasi masing-masing pada pukul 1.30 pagi dan 8 pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, SPAN ingin mengingatkan semua pihak agar cakna tentang keperluan memelihara sumber air selain memandang serius situasi pelepasan efluen ke alur air terutama melibatkan efluen terlarang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jika tidak dihentikan bakal mengakibatkan masalah berterusan kepada kemaslahatan masyarakat serta ekonomi secara amnya," ujarnya.

SPAN dalam pada itu memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang perbuatan mencemar alur air, kepada operator bekalan air, Jabatan Alam Sekitar atau hubungi SPAN melalui WhatsApp ke nombor 0133885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.