Ahli keluar parti: Amanah Kedah tidak lumpuh

Dr Ismail
Dr Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan sekumpulan pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) keluar parti tidak akan melumpuhkan gerak kerja mahupun memberi kesan buruk terhadap Amanah Kedah.

Pemangku Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sebaliknya ‘penghijrahan’ mereka itu akan menguatkan lagi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah yang dijangka diadakan pada tahun depan.

Menurutnya, kekuatan Amanah itu juga akan didokong oleh kemenangan Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan Persekutuan selain penyertaan sebuah parti blok Melayu yang telah bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin tindakan kumpulan berkenaan tidak akan beri kesan besar kepada Amanah Kedah mahupun melumpuhkan parti ini.

“Walaupun didakwa terdapat 206 ahli yang isytihar keluar Amanah Kedah di semua peringkat, semakan mendapati hanya 66 adalah nama yang didaftar sebagai ahli parti, selebihnya mungkin hanya secara verbal atau penyokong dan aktivis,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bersama lebih 200 pimpinan, Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli Amanah Kedah dari beberapa kawasan termasuk aktivis NGO, Pasma yang diasaskan Phahrolrazi mengumumkan keluar parti.

Tindakan kumpulan berkenaan meninggalkan Amanah adalah bagi menunjukkan sokongan kepada Phahrolrazi yang dipecat oleh Amanah nasional pada 30 Oktober kerana didapati melanggar perlembagaan parti berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu dikatakan ingkar keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti, apabila mempersoal pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Phahrolrazi turut mengumumkan beliau dan kumpulan berkenaan tidak akan meninggalkan PH, sebaliknya berhasrat untuk menyertai mana-mana parti bawah PH.

Mengulas perkara itu, Dr Ismail percaya besar kemungkinan Phahrolrazi dan kumpulan berkenaan berhasrat untuk menyertai PKR.

“Tidak ada polisi yang menghalang perpindahan ahli antara parti-parti dalam PH. Namun kebiasaannya, atas dasar menghormati rakan parti gabungan sesama sendiri, selalunya mereka tidak terima, apatah lagi selepas diadakan pengumuman terbuka seperti itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebagai pemimpin yang diamanahkan mengetuai Amanah Kedah selepas pemecatan Phahrolrazi, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada kumpulan berkenaan yang mahu meneruskan perjuangan bersama parti baharu.

“Saya juga ucapkan terima kasih atas sumbangan Phahrolrazi ketika mengetuai parti termasuk kesemua ahli lain yang telah menyumbang tenaga dan jasa untuk parti,” katanya.