Gobind tolak jawatan menteri, mahu fokus tugas ahli Parlimen

Gobind
Gobind
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo mendedahkan beliau ditawarkan untuk membarisi kabinet Kerajaan Perpaduan, namun terpaksa menolaknya kerana mahu memberi fokus kepada tugas-tugas sebagai Ahli Parlimen Damansara.

Gobind berkata demikian bagi menjelaskan pertanyaan umum selepas namanya tidak disenaraikan dalam barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

"Beliau (Anwar) ada meminta saya menjadi sebahagian daripada kabinetnya namun selepas mempertimbangkan tawaran tersebut, saya tidak dapat berbuat demikan.

"Saya akan fokus tugas saya sebagai ahli Parlimen dan membantu kerajaan dalam semua cara yang boleh," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut merakamkan penghargaan di atas peluang yang diberikan dan memberikan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar menerajui kerajaan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana meminta saya menjadi sebahagian daripada kabinetnya.

"Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dan percaya Anwar akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan dua Timbalan Perdana Menteri dan 28 menteri menerusi sidang akhbar senarai pembentukan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Empat menteri daripada DAP ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.