Sumatera Utara lokasi strategik pengembangan syarikat E&E

Bambang - Foto Bernama
Bambang - Foto Bernama
A
A
A

INDONESIA khususnya Sumatera Utara, menyediakan peluang yang besar kepada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka di sana memandangkan ketersediaan sumber manusia dan dasar yang mesra pelabur.

Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto berkata, terdapat kira-kira 27,000 pekerja Indonesia bekerja di sektor perindustrian di Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya, justeru, latihan intensif tidak diperlukan.

"Sekembalinya mereka ke Indonesia, mereka merupakan sumber manusia yang berpotensi yang boleh dimanfaatkan oleh pelabur, selain daripada sumber asli negara yang banyak dan infrastruktur yang baik.

"Dunia perniagaan telah mula aktif seperti sebelum pandemik, oleh itu, ini adalah peluang yang baik untuk perniagaan di Malaysia untuk melabur di Indonesia dan berkembang bersama Indonesia,” katanya kepada pemberita di luar Forum Pelaburan Indonesia di sini Selasa lalu.

Bertemakan ‘Melabur dalam Industri Pembuatan Indonesia’, forum setengah hari yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan Indonesia itu bertujuan menonjolkan Indonesia sebagai destinasi pelaburan serta mempercepatkan pemulihan ekonomi negara selepas pandemik.

Bambang berkata, di bawah Presiden Joko Widodo, Indonesia sangat akomodatif kepada pelabur asing, dapat dilihat dalam Pelan Pembangunan Jangka Sederhana 2020-2024, kerajaan telah menetapkan strategi pemulihan ekonomi selepas pandemik melalui pecutan pelaburan, pemulihan industri dan perdagangan, memperhebat sektor kewangan, pembangunan pelancongan, pengukuhan sektor kesihatan, pembangunan infrastruktur dan pembangunan sumber manusia.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan Indonesia, industri pembuatan merupakan salah satu sektor sokongan dalam pertumbuhan ekonomi Indonesia dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menunjukkan peningkatan yang stabil dari tahun ke tahun, termasuk semasa pandemik.

Realisasi pelaburan sektor pembuatan di Indonesia dalam tempoh lima tahun terakhir (2017-2021) ialah AS$82.84 juta.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, Malaysia adalah salah satu daripada 10 pelabur teratas di Indonesia, dengan realisasi pelaburan dalam tempoh lima tahun terakhir (2017-2021) mencecah AS$6.76 bilion. - Bernama