CAP alu-alukan pelaksanaan subsidi bersasar

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pengumuman kerajaan Pusat mengenai rancangan untuk melaksanakan subsidi bahan api bersasar bagi mereka dalam kumpulan Bawah 40 (B40).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP menyokong usaha itu malah menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaannya kerana perang di Ukraine tidak mungkin akan berakhir dalam masa terdekat.

Menurutnya, perang di Ukraine adalah satu peringatan kepada Malaysia kerana ia menyebabkan indeks minyak mentah Brent melebihi AS$130 satu tong pada awal Mac lalu iaitu tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

"Sehingga kini, harga masih kekal tinggi iaitu melebihi AS$80 satu tong. Pada masa ini kerajaan memberikan subsidi petrol RON95, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah menganggarkan subsidi sahaja akan menelan kos sebanyak RM28 bilion pada 2022.

"Harga petrol bersubsidi Malaysia (RON95) menjadikannya paling berpatutan dalam kalangan sembilan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang disenaraikan. Harga petrol di Malaysia adalah 47.44 peratus lebih rendah daripada Indonesia (RM3.90) dan 54.24 peratus lebih rendah daripada Vietnam (RM4.48)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sistem subsidi semasa secara menyeluruh dilihat tidak sempurna kerana ia memberi manfaat kepada golongan lebih berkemampuan berbanding golongan miskin.

"Alasan yang diberikan adalah kebanyakan kereta, termasuk banyak kereta mahal, juga boleh menggunakan RON95. Ini bermakna, subsidi harga petrol telah diagihkan secara tidak sekata kepada semua golongan sedang golongan B40 lebih memerlukan.

"Bagaimanapun, kita kena ingat, bukan semua golongan B40 memiliki kenderaan, dan jika ada pun, mungkin menggunakan kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin yang rendah. Lebih mengeruhkan keadaan, petrol bersubsidi juga sering kali disalahgunakan seperti penyeludupan diesel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohideen berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengguna pakai sistem kad subsidi elektronik bagi memberi subsidi bersasar kepada golongan B40 bagi pembelian RON95, gas memasak (LPG), minyak masak dan barangan harga terkawal lain seperti yang ditentukan kerajaan.

"Kumpulan M40 juga perlu diberikan bantuan. Kerajaan boleh mengkreditkan subsidi bulanan minimum secara tetap ke dalam kad subsidi elektronik yang boleh digunakan oleh penerima untuk membeli petrol, minyak masak, gas memasak, dan barangan bersubsidi lain.

"Untuk membuat pembelian, seseorang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalannya untuk tujuan pengesahan. Subsidi menyeluruh adalah tidak mampan kerana ia membebankan kewangan negara. Pada 2020, kerajaan membelanjakan RM4.66 bilion untuk jumlah subsidi, pada 2021 adalah RM13.13 bilion dan 2022 pula, hampir RM80 bilion yang dikatakan sebagai tertinggi dalam sejarah," katanya.

Tambah beliau, pengeluaran kad subsidi elektronik kepada golongan miskin dan kawalan harga makanan yang berkesan perlu menjadi keutamaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kad subsidi elektronik ini agak mudah dilaksanakan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pangkalan data penerima B40 yang menerima bantuan sebelum ini.

"Sementara bagi data kumpulan M40 pula, ia boleh diambil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.

Beliau berkata, implikasi subsidi perlu diteliti kerana ia tidak bersasar ketika ini dengan turut dinikmati golongan kaya dan industri.