TNB sokong subsidi bersasar

Abdul Razak (tengah) bersama Baharin (kanan) serta Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman (kiri) melihat Buku Laporan Tahunan TNB di Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33 pada Khamis.
Abdul Razak (tengah) bersama Baharin (kanan) serta Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman (kiri) melihat Buku Laporan Tahunan TNB di Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong pemberian subsidi elektrik bersasar demi membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan meringankan tekanan kos terhadap golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin, pihaknya memahami keperluan membantu rakyat berpendapatan rendah untuk menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan pada penghujung 2022 telah mengumumkan pelaksanaan skim subsidi elektrik bersasar untuk pengguna domestik selain tidak menaikkan surcaj untuk kumpulan perniagaan kecil dan industri terpilih.

“Kami akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus tarif mengikut mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), sambil mengimbangi perlunya tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan bakal dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Perdana Menteri berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din memaklumkan, kerajaan telah menyediakan bayaran subsidi kepada rakyat bagi mengimbangi kos bahan api lebih tinggi dalam penjanaan elektrik di bawah mekanisme ICPT.

Ujarnya, ditambah dengan pengurusan modal secara berhemat, ia telah membantu TNB mengurangkan tekanan harga bahan api yang tinggi.

“Pada kemuncak krisis tenaga global tahun lalu, harga arang batu dan gas mencapai paras tertinggi dan Malaysia turut tidak terlepas daripada kenaikan harga bahan api, yang memberi kesan besar kepada kos penjanaan elektrik.

“Dalam menguruskan kos bahan api yang lebih tinggi, kami terus bekerjasama dengan kerajaan dalam pelaksanaan mekanisme ICPT,” katanya.

Dalam pada itu Baharin turut memaklumkan, TNB berjaya mengekalkan piawaian bertaraf dunia menerusi rekod faktor ketersediaan pada loji janakuasa sebanyak 83.2 peratus manakala 0.2 minit dicatat pada Sistem Minit Penghantaran yang merupakan penanda aras untuk minit gangguan disebabkan oleh transmisi.

Selain itu katanya, Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) pula mencatatkan 45.1 minit pada 2022.

Justeru katanya, pencapaian berkenaan mencerminkan kesungguhan dan komitmen tenaga kerja syarikat itu dalam mengendali dan mengekalkan mutu infrastruktur bekalan elektrik negara pada tahap tertinggi.