Isu air: Pulau Pinang akan teruskan rundingan dengan Perak

Kon Yeow menggerakkan jentera sebagai tanda gimik Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat India pada Jumaat.
Kon Yeow menggerakkan jentera sebagai tanda gimik Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat India pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menghormati pendirian kerajaan Perak berhubung keengganan negeri itu membekalkan air mentah ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan tetap meneruskan rundingan bersama Perak berikutan laporan kajian yang dilaksanakan perunding yang dilantik Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menunjukkan negeri itu mempunyai air mencukupi.

Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang akan berusaha mengadakan perbincangan dengan kerajaan Perak bagi memperhalusi perkara tersebut.

"Kita menghormati keputusan kerajaan Perak tentang perkara ini malah sebelum ini pun, Menteri Besar Perak ada juga menyuarakan pandangan yang sama ketika mesyuarat yang diadakan bersama beliau, barisan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang serta agensi-agensi berkaitan pada awal tahun ini.

"Bagaimanapun, perbincangan tidak dapat dilanjutkan kerana ketika itu laporan yang dibuat perunding yang dilantik kementerian belum siap. Namun, kita akan meneruskan usaha ini. Selepas mesyuarat pada awal tahun itu, kita senyap mengenai isu ini kerana semua pihak sibuk dengan pilihan raya.

"Selepas semuanya selesai termasuk pembentukan kerajaan baru, kita akan teruskan usaha. Kenyataan saya ini juga tidak melibatkan isu politik, ia melibatkan isu kepentingan awam iaitu bekalan air," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat India di sini pada Jumaat.

Perak sebelum ini tetap dengan keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang walaupun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan campuran di peringkat pusat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti yang ada cukup untuk negeri itu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, laporan kajian yang siap pada September lalu menunjukkan kapasiti Sungai Perak mencukupi untuk kegunaan utara Perak termasuk Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil laporan tersebut juga sama dengan keputusan kajian yang dijalankan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada 2019.

"Perundingan selepas keputusan kajian ini belum dijalankan berikutan semua pihak sibuk dengan pilihan raya.

"Takkan ketika semua pihak sibuk (termasuk kita), kita nak berbincang mengenai isu bekalan air. Kita sabar menunggu rundingan seterusnya selepas semuanya telah selesai selepas ini," katanya.

Justeru, beliau menuntut Saarani mengemukakan butiran laporan kajian yang mengatakan bekalan air di Sungai Perak hanya cukup untuk negeri itu.

"Jika Menteri Besar Perak kata air di Sungai Perak tidak mencukupi, kita nak tahu beliau petik daripada bahagian mana, muka surat berapa (dalam laporan kajian). Beliau harus kongsi butiran-butiran tersebut.

"Saya sudah teliti rumusan eksekutif laporan kajian tersebut yang memutuskan bahawa Perak mempunyai cukup bekalan air selain beberapa pilihan cadangan. Selain itu, laporan itu juga memutuskan bahawa Projek SPRWTS boleh dilaksanakan.

"Bagaimanapun, projek yang dijangka bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion itu perlu ditanggung semua pihak iaitu kerajaan Pulau Pinang, kerajaan Perak dan kerajaan pusat, tertakluk jenis air apa yang akan diberikan sama ada air terawat atau air mentah," katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober 2020 kepada Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, Saarani berkata, Perak memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.