England jumpa Senegal tanpa pertahanan Arsenal

Ben White: Foto Agensi
Ben White: Foto Agensi
A
A
A

NAIB juara Euro 2020, England kehilangan khidmat pemain pertahanan, Ben White menjelang aksi menentang Senegal dalam perlawanan pusingan 16 terbaik di Stadium Al Bayt awal pagi Isnin.

Persatuan Bola Sepak England berkata: “Ben White telah meninggalkan pangkalan latihan pasukan bola sepak England di Al Wakrah untuk pulang ke tanah air atas sebab peribadi.

"Pemain pertahanan Ben White dijangka tidak akan kembali menyertai skuad The Three Lions untuk baki perlawanan kejuaraan Piala Dunia Qatar 2022.

"England FA meminta semua pihak menghormati privasi Ben White pada masa ini."

Ketiadaan White dijangka menjadikan England kurang seorang pemain pertahanan untuk baki kejuaraan untuk skuad Gareth Southgate.

Gandingan pilihan pertama The Three Lions - John Stones dan Harry Maguire disokong pertahanan Tottenham Hotspur, Eric Dier dan Conor Coady dari Everton.

Untuk rekod, pengendali England Southgate tidak menurunkan pemain berusia 25 tahun itu dalam tiga perlawanan kumpulan berdepan Iran, Amerika Syarikat dan Wales sebelum ini.

Malah White juga tidak bersama para pemain The Three Lions semasa perlawanan terakhir kumpulan menentang Wales di Stadium Ahmad bin Ali pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

White yang merupakan pemain Arsenal memulakan karier senior bersama Brighton & Hove Albion dari 2016 hingga 2021, sebelum menyertai kem Mikel Arteta di London.

Sepanjang menyarung jersi The Seagulls, White juga memperoleh minit permainan bersama Newport County, Peterborough United dan Leeds United.

White sebelum ini menikmati permulaan musim mengagumkan di Liga Perdana Inggeris bersama pendahulu Arsenal, yang cukup untuk membolehkannya meraih tempat dalam skuad Southgate ke Qatar 2022.