Menanti 'bahtera' untuk Malaysia

Menanti debaran siapa yang bakal mengisi kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menanti debaran siapa yang bakal mengisi kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A
A
A

RAKYAT Malaysia kini amat menantikan pelantikan barisan kabinet baharu kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bacaan politik memang pelbagai. Ramai mencongak itu dan ini. Macam-macam telahan bertebaran di media sosial terutama melibatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kuota Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) dan Datuk Seri Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula digembar-gembur untuk wakil dari Sabah serta Sarawak.

Dari segi hierarki parti dan pengalaman, Ahmad Zahid mempunyai kelayakan, namun ramai pengkritik mempersoalkan peluangnya susulan persepsi kes-kes yang dihadapinya di mahkamah.

Namun, Perdana Menteri sebelum ini menegaskan seseorang individu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Maka, teka-teki tersebut masih belum terlerai.

Dalam pada itu, di sebalik hasrat Perdana Menteri mengecilkan saiz kabinet, masih terdapat juga cadangan agar golongan teknokrat turut dilibatkan supaya kepakaran-kepakaran kumpulan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kerajaan terdahulu telah melakukannya dengan melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Artikel Berkaitan:

Nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga diuar-uarkan berpotensi bekerja di bawah ‘bahtera’ kepimpinan Anwar. Segalanya tiada yang mustahil. Apa pun andaian, ramai yakin Perdana Menteri semestinya bijak mencatur dalam misinya memaju dan membangunkan negara.

Sudah pasti beliau akan memastikan anggota kabinet dilantik benar-benar layak, berprestasi tinggi dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

Justeru, kita harus menghormati apa juga keputusan yang diputuskan oleh Perdana Menteri.

Bagi rakyat, siapa pun yang Anwar pilih, paling penting semuanya boleh bekerja bersungguh-sungguh dan mempunyai nilai integriti tinggi.

Semoga mereka dapat bersama-sama mencari formula memajukan ekonomi Malaysia, tangani kos sara hidup yang semakin menggila dan paling penting, jangan makan rasuah! Negara kita perlukan perubahan.