Kabinet dijangka diumumkan petang esok

Anwar dijangka mengumumkan barisan kabinet pada petang esok.
Anwar dijangka mengumumkan barisan kabinet pada petang esok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai menteri kabinet petang esok.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah tidak akan dilakukan dengan segera dan dibuat pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sinar Harian difahamkan, jika tiada sebarang masalah senarai kabinet akan diumumkan namun tidak dapat dipastikan jumlah yang sebenar.

"Pengumuman akan dibuat pada sebelah petang kerana Perdana Menteri ada majlis di Tambun pada sebelah pagi jadi kemungkinan pada sebelah petang ia akan diumumkan namun saiz atau jumlah sebenar tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini pelbagai spekulasi mengenai barisan kabinet Kerajaan Perpaduan tersebar sekali gus menimbulkan tanda tanya seluruh rakyat Malaysia.

Difahamkan, Anwar dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi, Jumaat.

Setelah itu, Anwar akan menghadiri walkabout dan sesi beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Tanjung Rambutan.

Beliau kemudiannya dijadual berangkat ke luar negara pada Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerlukan lapan hari sebelum mengumumkan senarai kabinet masing-masing.

Dalam pada itu, ketika ini juga timbul desas-desus mengenai beberapa nama yang dikhabarkan akan menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan senarai yang tersebar, antara nama-nama yang dipetik bakal memegang jawatan menteri di dalam kerajaan baharu itu adalah Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN); Rafizi Ramli (PH) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS).

Lima senarai lain adalah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH); Mohamad Sabu (PH); Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), M Kulasegaran (PH) dan Nik Omar Nik Abdul Aziz (PH).

Menurut Sumber, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Kewangan, manakala Johari yang kembali merampas Parlimen Titiwangsa akan diberikan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pula dijangka diberikan jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, manakala Fadillah dijangka kekal menerajui Kementerian Kerja Raya.

Pemimpin lain yang dikhabarkan akan kembali memegang portfolio yang pernah disandang ketika pemerintahan PH adalah Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan dan Kulasegaran sebagai Menteri Sumber Manusia.

Sementara itu, Saifuddin Nasution akan dilantik sebagai Menteri Wilayah, manakala bekas calon PH di Parlimen Pasir Salak, Nik Omar memegang jawatan Menteri Agama.

Bagaimanapun, pemimpin yang bakal dilantik memegang Jawatan Timbalan Perdana Menteri masih menjadi teka-teki.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk kini disertai tiga gabungan utama iaitu PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).