Banjir: 6,397 pasukan perubatan bakal ditugaskan di PPS

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan seramai 6,397 anggota pasukan perubatan bagi melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah tersebut bertujuan sebagai kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana banjir berikutan kesan Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut beliau, seramai 4,688 anggota pasukan kesihatan dijangka melakukan pemantauan, pencegahan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“5,964 anggota Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) akan ditugaskan bagi memberi dan menyelaras perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.

“Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) dengan 1,770 anggota bertanggungjawab memberi respons untuk mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa yang sama, Noor Hisham memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengemas kini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik bagi menghadapi memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan sewaktu bencana itu.

“Stok bekalan ubatan mencukupi di fasiliti kesihatan untuk tiga bulan dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan KKM.

“Semua JKN juga sudah mengenal pasti fasilitì kesihatan yang berisiko banjir bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat sekiranya operasi kemudahan itu terjejas banjir,” ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut mengingatkan kepada semua penghuni di PPS untuk sentiasa berhati-hati dengan wabak Covid-19 dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Langkah ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.