Lapan ditahan bersama pelbagai jenis dadah

Dadah yang dirampas daripada lapan suspek yang ditahan.
Dadah yang dirampas daripada lapan suspek yang ditahan.
A
A
A

GEORGETOWN - Enam lelaki dan dua wanita warga tempatan ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM31,365 dalam dua serbuan di Batu Maung, Bayan Lepas pada 23 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah pada jam 10.10 pagi.

Menurutnya, polis menahan enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun dipercayai ahli sindiket mengedar dadah di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui 82.6 gram pil ekstasi, 28 gram pil eramin 5 dan 16.5 gram ketamin. Hasil penahanan kelapan-lapan suspek, kita menyerbu sebuah rumah lagi di kawasan Batu Maung pada jam 12 tengah hari, hari sama.

"Hasil pemeriksaan di rumah kedua itu menjumpai 524.9 gram pil ekstasi dan 112.9 gram pil eramin 5," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah.

"Kesemua dadah yang dirampas akan diedarkan oleh suspek di sekitar daerah Barat Daya. Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 1,926 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

"Kita turut menyita wang bernilai RM3,000, sebuah Toyota Vios dan sebuah Proton Gen 2. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dan barang yang disita adalah RM74,365," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul berkata, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.