Cadang homestay buat penduduk terjejas tanah runtuh: Exco

Keadaan rekahan pada jalan akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Berlian. (Gambar kecil: Teo Kok Seong)
Keadaan rekahan pada jalan akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Berlian. (Gambar kecil: Teo Kok Seong)
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang menyediakan kemudahan rumah inap desa kepada penduduk Taman Bukit Berlian yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Khamis.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, ia sebagai langkah jangka panjang demi keselamatan penduduk sementara kerja-kerja pembaikan cerun dilakukan.

"Berdasarkan pemerhatian saya, kawasan ini tidak sesuai untuk diduduki buat sementara waktu kerana ia berisiko dan sebagai langkah awal, kita akan sediakan pusat pemindahan sementara (PPS) buat penduduk.

"Kerajaan negeri akan sedaya upaya untuk membantu dari segi penginapan dan untuk jangka panjang, kami bercadang untuk sediakan homestay buat penduduk," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu katanya, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan kecemasan untuk membaik pulih kesan runtuhan yang berlaku dalam masa terdekat.

Bagaimanapun katanya, penduduk diharap dapat memahami kerana kerja-kerja pembaikan akan mengambil masa untuk disiapkan.

"Saya telah arahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat penilaian bagaimana tahap risiko kawasan ini.

"Cuma setakat ini melalui mata kita ia kurang selamat dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak bertanggungjawab," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, seramai 47 penghuni di 12 unit rumah di taman berkenaan dinasihatkan untuk mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga buah kenderaan milik sebuah keluarga iaitu Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza terjunam ke dalam cerun yang runtuh.