Tubuh RCI siasat dana lebih RM500 bilion tidak diaudit

Sany Hamzan (empat dari kiri) ketika ditemui di IPD Dang Wangi selepas selesai membuat laporan polis.
Sany Hamzan (empat dari kiri) ketika ditemui di IPD Dang Wangi selepas selesai membuat laporan polis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu perbelanjaan dana pentadbiran berjumlah lebih RM500 bilion semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Mobilisasi PH, Mohd Sany Hamzan menegaskan aliran dana berkenaan perlu diperjelaskan kerana melibatkan satu jumlah yang amat besar dan tidak diaudit.

"Kita tidak tahu RM500 bilion ini pergi ke mana semasa pemerintahan Muhyiddin. Jumlah itu sangat besar, jadi kita gesa RCI ditubuhkan untuk menyiasat ke mana wang itu dibelanjakan.

"Kalau terpaksa tubuh RCI untuk siasat benda ini kita kena tubuhkan. Kalau tubuhkan RCI, hari ini siasat esok dah tahu dah pergi mana wang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat empat laporan berhubung isu semasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama beberapa wakil Biro Mobilisasi PH di sini pada Rabu.

Antara laporan dibuat berkaitan hantaran Facebook Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakaman audio mirip suara Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

Selain itu, dua lagi laporan turut dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad yang mendakwa pelantikan Anwar bagi mengelakkan tindakan daripada Israel selain calon Perikatan Nasional bagi Padang Serai, Datuk Azman Nasarudin yang mendakwa kerajaan dibentuk ketika ini merupakan kerajaan zina.

Sementara itu, Sany Hamzan berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung isu dana berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

"Kita akan pergi ke situ (SPRM). Dulu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM2.6 bilion tetapi yang ini RM500 bilion, lebih 10 kali ganda nilai tidak masuk ke Parlimen," ujar beliau.