TMP 2024 sasar bawa pulangan lebih RM10 bilion

Sze Yee dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Sze Yee dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dijangka mampu membawa pulangan lebih RM10 bilion dengan sasaran kemasukan 8.35 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, penekanan yang lebih akan diberikan kepada pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu sebagai penyumbang utama sasaran.

Menurutnya, antara produk berkenaan ialah Tasik Cermin, Silverlake Village Outlet, Galeri dan Rumah Dato' Lat, Qi Xi Ling Cultural Village, Maze Garden, Escape@Ipoh dan Geopark Lenggong yang membantu menarik lebih ramai kehadiran pelancong.

"Kita tidak hanya memfokuskan pelancongan domestik sahaja, tetapi membabitkan aktiviti promosi sektor pelancongan di peringkat antarabangsa.

"Ini termasuklah perjalanan ajen-ejen pelancongan dari Vietnam, Thailand, agensi media Bangkok dan ejen di bawah Matta (Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembara Malaysia) membabitkan lebih 100 peserta pada Jun dan Julai depan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Mufidah Mahfodz.

Pada 2019, Tourism Perak merekodkan industri pelancongan negeri menjana pendapatan sehingga RM7.8 bilion.

Sze Yee berkata, TMP 2024 menetapkan hala tuju pelancongan berteraskan prinsip kelestarian, daya saing dan keterangkuman yang akan meletakkan negeri ini sebagai destinasi utama dalam segmen ekopelancongan, kebudayaan, warisan dan gastronomi.

Katanya, sebagai persediaan, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa gerak kerja TMP 2024 bagi memantapkan tadbir urus sektor pelancongan serta bengkel libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penggiat industri sebagai penambah baikan kepada pelaksanaannya.

"Pada Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri minggu lepas, kerajaan bersetuju meluluskan perbelanjaan tambahan RM7 juta bagi TMP 2024.

"Peruntukan ini bukan sahaja untuk tujuan aktiviti promosi tetapi digunakan untuk menaik taraf tempat-tempat pelancongan utama sedia ada seperti kerja menambah papan dan mercu tanda, penyelenggaraan jalan masuk, kemudahan bilik air, gerai serta pencahayaan bersesuaian," katanya.

Beliau turut mengumumkan cadangan projek yang akan dilaksanakan sebagai inisiatif TMP 2024 iaitu membangunkan cruise di Sungai Perak, pembangunan infrastruktur di kawasan Gua Runtuh, Gua Kelawar dan Gua Harimau di Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong serta pembukaan semula Bukit Larut.