Sektor pertanian Terengganu rugi RM12 juta akibat banjir

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sektor pertanian Terengganu merekodkan kerugian sebanyak RM12 juta akibat bencana angin kuat, hujan lebat berterusan dan banjir bermula Disember 2021 sehingga Februari lalu sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada sekuriti makanan negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sektor perikanan akuakultur mencatatkan kerugian paling besar iaitu RM8.56 juta melibatkan seramai 175 pengusaha.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 104 pengusaha adalah pemilik sangkar manakala bakinya penternak ikan kolam.

“Daerah paling terjejas adalah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut,” katanya menjawab soalan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) mengenai banjir yang menjejaskan sektor penternakan ikan sangkar dan usaha kerajaan negeri dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri yang prihatin dengan musibah menimpa pemain sektor tersebut telah mengambil tindakan menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM221,000 melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri.

Jelas beliau, penternak yang terjejas turut menerima bantuan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan dari kerajaan Persekutuan dalam bentuk peralatan dan input bernilai RM2.079 juta.

“Setiap penternak menerima bantuan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penyerahan telah dibuat pada 2 November lalu di Kampung Getang, Hulu Terengganu.

“Selain itu, kerajaan negeri turut membantu membuat penyelarasan dan penjadualan semula pinjaman dengan agensi pembiaya seperti Agrobank dengan penternak,” katanya.

Artikel Berkaitan: